ADAB BERJIRAN MENURUT ISLAM
Tidak Menyakiti Jiran
Sebagai jiran, seseorang itu mestilah menjauhi segala perbuatan yang tidak disenangi oleh jiran tetangganya. Perbuatan tersebut seperti mencuri, membuat bising, memfitnah, membuang sampah berdekatan dengan rumah jiran sehingga menimbulkan bau busuk.
Sabda Rasulullah SAW;
“Tidaklah masuk syurga orang yang tetangganya tidak aman kerana gangguannya.”Hadis Riwayat Muslim
Dengan itu, sangatlah rugi bagi golongan yang beriman kepada Allah tetapi bersikap buruk terhadap jirannya. Jadi, berlemah-lembutlah terhadap jiran, jangan meninggikan suara, menegur jiran-jiran dengan ucapan salam dan senyuman, sentiasa bersangka baik, menerima teguran jiran atas kesilapan sendiri dan lain-lain hal yang menjaga ketenteraman kejiranan.
Menjaga dan Mengambil-berat Terhadap Jiran
Lebih bertanggungjawab jika seseorang itu menjaga kepentingan jiran-jirannya dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran dan perhatian. Bermula dari amalan ni akan melahirkan masyarakat yang berkasih-sayang.
Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa mengambil-berat sesama saudara seislamnya.
“Barang siapa yang menolong saudaranya yang lain maka Allah akan menuliskan baginya tujuh kebaikan bagi setiap langkah yang dilakukannya.”Hadis Riwayat Thabrani
Jika terdapat jiran yang sakit atau ditimpa ujian, ziarahlah mereka dan hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan. Selain itu, selalu bertanya khabar akan kesihatan jiran-jiran.
Oleh itu, sedikit sebanyak, seseorang itu perlu mengetahui akan pekerjaan dan cara kehidupan jiran-jirannya. Ini bukanlah untuk ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi sebagai seorang ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan benar-benar mengenali jirannya.
Berbuat Baik Dan Memelihara Keamanan Dengan Jiran
Melakukan kebaikan terhadap jiran termasuklah dengan memberi buah tangan atau bertukar pemberian, sehinggalah kepada ucapan takziah atau tahniah atas apa-apa berita berkaitan.
Lakukanlah perkara dan usaha selagi tidak melanggar akidah dalam berbuat baik kepada jiran tetangga. Jika setiap jiran berusaha untuk menjaga hati jiran masing-masing, pasti kawasan kejiranan tersebut sentiasa aman dan tenang menjalani kehidupan seharian.
Sesungguhnya sesiapa yang mengembirakan jirannya akan digembirakan pula oleh Allah SWT.
“Barang siapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat.”Hadis Riwayat Ibnu Mubarak
Oleh itu, Muslim yang menyedari serta memahami hukum-hukum agama, pasti orang yang paling baik dalam menjaga hubungannya dengan jiran-jirannya. Bahkan akan sentiasa menghormati dan menimbulkan ihsan apabila berinterasi.
Memuliakan Jiran
Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya agar memulia dan menghormati jiran seperti melayan kaum keluarga sendiri. Sabda Baginda;
“Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.”Hadis Riwayat al-Bukhari
Perbuatan memuliakan jiran ini termasuklah mengurus dan mengiringi jiran yang meninggal dunia sehingga ke tanah perkuburan.
Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan hubungan silaturahim dan pertalian sesama manusia, selain menuntut umatnya bercampur gaul dan bermasyarakat. Dengan itu, menghormati jiran adalah penting demi kebaikan dan persaudaraan.
Ini termasuklah jiran yang bukan beragama Islam; sebagai cabang dakwah bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kemesraan dan tidak gemarkan perpecahan.
Sesungguhnya umat Islam yang menyedari dan memahami hukum-hukum agama adalah yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya.
Comments
Post a Comment